اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ ،
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالحَمْدُللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ.
الحَمْدُ للهِ الْخَالِقِ الْمَعْبُوْدِ ، مُحَقِّقِ آمَالِ الطَّالِبِيْنَ إِلَيْهِ ، الرَّازِقِ الْمَحْمُوْدِ وَمُوَفِّقِ مَنْ آمَنَ بِهِ وَتَوَكَّلْ عَلَيْهِ ، الْمُحِيْطِ عِلْمُهُ بِالْحَدِّ وَالْمَحْمُوْدِ ، الَّذِى جَعَلَ الحَمْدَ سَبَبًا لِلْمَزِيْدِ ، أَحْمَدُهُ حَمْدَ مُعْتَرِفٍ عَلَى نِعَمِهِ الَّتِى لاَ يَسْتَوْعِبُهَا الأَعْدَادُ ، وَلاَ يُنْهَضُ بِشُكْرِهَا الْعِبَادُ .
أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الْمَأْخُوْذُ مِيْثَاقُهُ فِى الْقِدَمِ ، وَرَسُوْلُهُ الْمَبْعُوْثُ إِلى جَمِيْعِ الأُمَمِ . اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً مَشْفُوْعَةً بِأَمْثَالِهَا أُوْلِى الأَحْلاَمِ وَالنُّهَىْ صَلاَةً لاَ غَايَةَ ِلأَمَدِهَا وَلاَ مُنْتَهَىْ وَسَلَّمَ تَسْلِيْمًا كَثِيْرًا .
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوا اللهَ ذَكِّرُوا الْقُلُوْبَ هَوْلَ الإِزْدِحَامِ وَضَمِّرُوا النُّفُوْسَ ِلاقْتِحَامِ الْعُقْدَةِ الْكَـئـُوْدِ .
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ
Muslimin-Muslimat Yang Dirahmati Allah Sekelian
1. Bertaqwalah kita sekelian kepada Allah Rabbul Jalil dengan sebenar-benar taqwa. Taqwa yang melonjak naik selepas kita melalui latihan selama sebulan di Institut Latihan Ramadhan sebagai satu sijil pengiktirafan yang Allah SWT sebutkan di penghujung ayat 183 Surah Al-Baqarah ( لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ ﴿ moga-moga kamu bertaqwa.
2. Hari ini adalah hari Aidil Fitri, hari kemenangan, hari keseronokan, hari untuk mengumandangkan takbir, mengagung dan membesarkan nama Allah. Islam telah menentukan kehidupan kita ini sentiasa dalam suasana takbir iaitu membesarkan Allah Azzawajalla. Ketika azan kita mengucapkan takbir, membesarkan nama Allah. Ketika iqamah kita mengucapkan takbir. Saat hendak memulakan solah kita melafazkan takbir. Selepas bayi dilahirkan kita mengucapkan takbir di telinganya. Ketika menyembelih binatang kita mengucapkan takbir, ketika berada di medan perang kita melaungkan takbir. Pada hari Aidil Fitri seperti saat ini kita dianjurkan untuk mengumandangkan takbir selantang-lantangnya:
﴿ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدُ ﴾
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tidak Ada Tuhan Melainkan Allah Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar Bagi Allah Segala Kepujian.
Muslimin-Muslimat Rahimakumullah,
3. Hari ini kita tidak lagi berpuasa dan kita bergembira seperti kegembiraan orang yang sedang berbuka puasa. Seterusnya kita sedang menunggu saat kegembiraan yang lebih besar lagi iaitu saat bersua dengan Allah, seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
﴿ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا اِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفَطْرِهِ وَاِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ ﴾
Maksudnya: Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan yang mengembirakan iaitu ketika berbuka puasa ia bergembira dengan makanannya dan di saat berjumpa Tuhannya,dia bergembira dengan puasanya.
4. Ramadan Al-Mubarak telah berlalu, begitu juga bulan-bulan yang lain. Tahun berlalu dan berganti tahun berikutnya, hingga mengikis sisa-sisa umur kita. Kita bergembira dengan berakhirnya Ramadan dan bermulanya Syawal, tanpa menyedari bahawa bulan ini seumpama lembaran hidup kita yang dilipat satu demi satu sehingga habis lipatan tersebut. Ketika itu barulah kita sedar bahawa tempoh hidup kita di dunia ini sudah tamat. Dalam hal inilah Hasan Al-Basri pernah berkata:
“Wahai anak Adam, sesungguhnya engkau adalah kumpulan hari-hari. Setiap kali satu hari berakhir, maka satu bahagian dari hidupmu/umurmu juga turut lenyap.”
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ
Muslimin Muslimat Rahimakumullah
5. Perlu diingat bahawa di antara manusia ada yang mengadap Allah hanya pada bulan Ramadan sahaja. Berakhirnya Ramadan berakhirlah juga amal ibadah yang begitu tekun dilaksanakan sepanjang Ramadan. Mereka dilanda penyakit malas, muak, mali dan seumpamanya. Masjid sudah jarang dikunjungi, Al-Quran sudah kadang-kadang sahaja dibuka, lidah tidak lagi dibasahi dengan tahlil, tahmid, tasbih serta zikit-zikir yang lain. Iktikaf amat jauh sekali. Qiamullail begitu juga. Amalan sedekah dan seumpamanya terus membeku. Seolah-olah Allah hanya layak disembah pada bulan Ramadhan. Ingatlah sesiapa yang menyembah bulan Ramadan, sesungguhnya bulan Ramadan itu telah pergi dan berlalu. Sementara Allah s.w.t tidak pernah mati dan sentiasa hidup. Justeru itu menjadi tanggungjawab kita sekelian sebagai seorang mukmin, muslim dan muttaqin untuk meneruskan segala amalan soleh sepertimana yang diamalkan sepanjang bulan Ramadan yang baru berlalu seperti solah berjemaah, solah sunat, membaca Al-Quran, berqiamullail, berzikir, beriktikaf, bertaubat, berdoa, bersedekah berada di dalam halaqah ilmu dan seumpamanya. Kedudukan mereka yang beramal soleh telah disebutkan oleh Allah S.W.T dalam Surah An-Nisaa’ ayat 124:
﴿ وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّــلِحَــتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَـى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُؤْلَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ نَقِيرًا ﴾
Maksudnya: Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.
Muslimin, Muslimat Rahimakumullah
6. Menyinsingnya fajar Syawal pada pagi ini telah menggamit kita sekelian memulakan agenda Aidil Fitri dengan berkumpul untuk bersama-sama bertakbir, bertasbih, bertahmid, mengerjakan solah sunat Aidil Fitri, mendengar dua khutbah serta dapat bersilaturrahim sesama kita umat Rasulullah SAW. Beginilah caranya kita disuruh untuk melahir dan menjuruskan rasa syukur dan kegembiraan kita mengikut kerangka dan panduan Ilahi. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 185.
﴿ وَلـِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلَى مَا هَدَــكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴾
Maksudnya: Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
7. Kemuliaan Aidil Fitri ini marilah kita manfaatkan dengan bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Sifat benci-membenci digantikan dengan sayang-menyayangi, hentam-menghentam diwarnai dengan nasihat-menasihati, bermasam muka kepada senyum mesra, tidak bertegur sapa kepada tegur-menegur antara kita, maki-hamun kepada kata-kata lunak menusuk kalbu, sikap perseteruan kepada persaudaraan. Pendeknya semangat Aidil Fitri kita hidupkan bagi menghayati firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 10:
﴿ إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴾
Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ
Tuan-Tuan, Puan-Puan Sidang Jamaah Yang Dirahmati Allah.
8. Latihan sepanjang Ramadhan yang baru berlalu amat penting dalam konteks seorang pejuang atau perajurit. Ia merupakan salah satu pengisian yang memenuhi dasar pembinaan mental dan kerohanian Islam anggota ATM. Anggota yang memiliki kekuatan dalaman atau spiritual ini di samping kekuatan fizikal dan logistik merupakan anggota yang menjadi pilihan panglima Salahuddin Al-Ayyubi dalam misi perang salib. Sebagai panglima perang, beliau biasa melakukan rondaan malam ke khemah-khemah tenteranya. Apabila melalui khemah-khemah yang penghuninya mendirikan solah, membaca Al-Quran, bertasbih, beristighfar serta berzikir kepada Allah maka dia berkata “ Dari sinilah akan datangnya kemenangan”. Sebaliknya apabila melihat tentera-tentera yang ada di dalam khemah terlelap dalam tidur yang nyenyak maka dia berkata “Aku khuatir kekalahan datang dari sini, dari tentera-tentera yang terlelap dalam tidur dan lalai”. Tentera yang pada siangnya umpama singa-singa yang lapar manakala malamnya umpama abid kekasih Allah inilah yang bersama-sama panglima Salahuddin Al-Ayyubi membebaskan Baitul Maqdis dalam peperangan Hithin setelah 70 tahun ia berada di tangan tentera-tentera salib. Begitulah kekuatan ’spiritual combat power’ yang ada kepada umat Islam walaupun di luarnya nampak lemah tetapi dengan kekuatan amalannya ia menjadi lebih keras dari sebatang pokok yang kering, lebih hening dari mutiara, lebih tajam dari duri. Semangat sedemikianlah yang dikobarkan oleh syariat Islam melalui ucapan takbir di Aidil Fitri ini.
﴿ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ ، وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ ، وَلَوْ كَرِهَ الْمُنَافِقُوْنَ ، وَلَوْ كَرِهَ الظَّالِمُوْنَ . لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ ، صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ . لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ ﴾
9. Dalam takbir ini kita berikrar:
“Bahawa kita tidak akan tunduk dan patuh melainkan hanya kepada Allah walaupun sikap kita itu dibenci oleh orang-orang kafir, syirik, munafik dan zalim. Kita tegaskan bahawa kita yakin sepenuhnya kepada janji Allah yang benar dan dia sahaja ayang menolong dan memberi kemenangan kepada hambanya yang beriman. Kita tegaskan juga bahawa kita yakin Dia sahaja yang memperkuatkan tentera-tenteranya. Dia sahajalah jua yang menghancurkan barisan musuhnya yang menentang kedaulatan agamaNya.”
10. Aidil Fitri yang dirayakan pada hari ini memberi erti yang amat mendalam kepada seluruh muslimin dan muslimat. Kegembiraan tersebut bukan semata-mata dengan adanya pakaian baru, penampilan yang berlainan, bukan dengan beranika jenis juadah, bukan dengan adanya duit raya bagi kanak-kanak tetapi kegembiraan hari ini disebabkan kita telah berjaya melaksanakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah SWT. Hendaknya semangat Ramadan yang sedemikian dapat kita teruskan di bulan syawal ini, malah di bulan-bulan yang lain bagi memastikan perjalanan hidup kita ini memenuhi fungsi kita sebagai khalifah Allah di atas muka bumi iaitu untuk mendiri dan menegakkan agama serta mentadbir dunia ini dengan peraturan atau undang-undang Allah SWT.
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ
Muslimin Muslimat Rahimakumullah.
11. Dalam suasana kegembiraan ini janganlah sekali-kali ianya menggerhanakan kita untuk turut merasai keperitan, kepahitan, kesusahan, keseksaan yang sedang dialami oleh saudara seaqidah kita di bumi Palestin, Afghanistan, Iraq malah di mana sahaja di bumi Allah ini. Saudara-saudara kita sedang menghadapi tekanan, penindasan serta pembunuhan dari musuh-musuh Allah dan musuh-musuh umat Islam. Agenda musuh-musuh Islam ini sama ada bernama Nasoro mahupun Yahudi adalah disebabkan kita beriman dan mentauhidkan Allah Rabbul Jalil semata-mata. Perkara ini telah disebut oleh Allah SWT dalam Surah Al-Buruj ayat 8:
﴿ وَمَا نَقَمُواْ مِنْهُمْ إِلاَّ أَن يُؤْمِنُواْ بِاللهِ الْعَزِيْزِ الْحَمِيْدِ ﴾
Maksudnya: Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!
12. Marilah kita menyemarakkan semula semangat Jihad yang sudah mula malap. Kita soroti semangat Badar Al-Kubra. Kita canangkan suntikan Ramadan yang merupakan bulan jihad dan tajnid (ketenteraan) agar dengan itu musuh kita akan berfikir beratus kali sebelum membuat apa-apa tindakan ke atas umat Islam.
Muslimin Muslimat Rahimakumullah.
13. Bersempena Hari Lebaran ini marilah kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk rakan-rakan seperjuangan yang sedang melaksanakan amanah walau di mana mereka berada. Semoga Allah SWT memberikan mereka kekuatan, kesabaran, ketabahan, kesungguhan untuk terus menjadi galang ganti dalam mempertahankan kesucian agama, kedaulatan negara serta maruah bangsa.
14. Marilah kita kalungkan serangkai doa buat para mujahid yang terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi. Semoga roh mereka ditempatkan dalam golongan para syuhada’ dan solohin yang Allah Redhoi. Kepada anak isteri serta ahli keluarga yang ditinggalkan, kuatkanlah semangat, tingkatkanlah kesabaran, teguhkan iman, terima dan akurlah bahawa semuanya merupakan ketentuan Allah Yang Maha Mengetahui yang sudah termaktub sejak azali lagi.
15. Bagi kita yang diberikan kesempatan untuk melalui Ramadan Al-Mubarak dan Syawal yang penuh keberkatan ini, marilah sama-sama kita memperbanyakkan bekalan dengan menjadikan detik-detik kehidupan kita selanjutnya diwarnai oleh amal-amal soleh sebagai kesinambungan dari amalan sepanjang Ramadan yang baru berlalu. Moga-moga ianya dierima oleh Allah S.W.T sebagai amalan yang diredhainya.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
﴿ وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلاً مِّمَّن دَعَآ إِلَى اللهِ وَعَمِلَ صَــلِحًا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ الْمُسْلِمِينَ ﴾
Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"
بَارَكَ اللهُ لِى وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ ، وَنَفَعَنِى وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ . وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ . أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُاللهَ الْعَظِيْمَ لِى وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ .
0 comments:
Catat Ulasan